Selasa, 24 Julai 2012

Selamat Berpuasa..


Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK Taman Selayang mengucapkan Selamat Menjalankan Ibadah di dalam bulan yang penuh barakah ini... 

Bulan Ramadan menyediakan ruang yang seluas-luasnya bagi hamba Allah untuk melaksanakan amal ibadah. Ganjaran pahala setiap amal ibadah akan dilipat gandakan. Ibadah sunat diganjari dengan pahala ibadah wajib manakala ibadah wajib digandakan dengan tujuh puluh kali pahala kebajikan.
Daripada Salman r.a. ia berkata: “Telah berkhutbah Rasulullah S.A.W. pada hari terakhir bulan Syaaban dan sabdanya:-
“Wahai manusia sesungguhnya telah datang kepada kamu satu bulan yang agung lagi penuh keberkatan (bulan Ramadan) iaitu bulan yang ada padanya satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, bulan yang Allah jadikan berpuasa padanya suatu kewajipan dan berqiamullail (beribadat pada malam-malamnya) sebagai amalan sunat. Sesiapa yang mendekatkan dirinya kepada Allah pada bulan itu dengan melakukan amalan kebajikan (amalan sunat) maka ia mendapat pahala seperti melaksanakan perintah yang wajib dan sesiapa yang melakukan suatu amalan yang wajib pada bulan Ramadan maka ia mendapat pahala seperti orang yang melakukan tujuh puluh (70) amalan fardhu.” [Riwayat Imam Baihaqi]
Iblis dan syaitan pula dirantai pergerakan mereka bagi memudahkan hamba-hamba Allah melakukan amal ibadah.
Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda; “Apabila masuk bulan Ramadan terbukalah pintu-pintu syurga dan terkuncilah segala pintu neraka manakala sekalian syaitan dirantai dan dibuka segala pintu rahmat.”[Riwayat Bukhari & Muslim]
Begitu juga dengan anugerah Allah yang mengurniakan satu malam yang penuh rahmat iaitu malam al-Qadar (Lailatul Qadr). Amalan yang dilakukan pada malam ini adalah menyamai amalan yang dilakukan selama seribu bulan.
Firman Allah SWT, “Sesungguhnya kami menurunkan Al-Quran pada malam lailatulqadar dan apakah yang menyebabkan engkau mengerti apa itu Lailatulqadar. Lailatulqadar lebih baik daripada 1000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan keizinan daripada Tuhan mereka untuk setiap urusan. Malam ini sejahtera hingga terbit fajar” [Al-Qadr: 1-5]
Begitulah pemurahnya Allah yang Maha Esa. Tidakkah kita teruja dengan tawaran yang sangat hebat ini?

Renung-renungkan dan Selamat Beramal. ^_^

Dipetik daripada http://ismapenang.net/2011/ramadhan-datang-membawa-ganjarannya/